Belian Pikat Dr. Norul Izani Di Bumi Kenyalang | Universiti Putra Malaysia
» ARTICLE » Belian Pikat Dr. Norul Izani di Bumi Kenyalang

Belian Pikat Dr. Norul Izani di Bumi Kenyalang

Article Summary
Jika seseorang itu menyatakan mencari rezeki dalam industri perkayuan pasti ramai yang menganggap profesion ini kelas kedua, segelintir masyarakat yang berpendapat bekerja di sektor itu tidak perlu mempunyai kelulusan akademik tinggi.


Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin

 

 

Jika seseorang itu menyatakan mencari rezeki dalam industri perkayuan pasti ramai yang menganggap profesion ini kelas kedua, segelintir masyarakat yang berpendapat bekerja di sektor itu tidak perlu mempunyai kelulusan akademik tinggi.

 

Namun, industri ini amat berpotensi dan juga mendatangkan keuntungan yang berlipat ganda kepada usahawan negara ini. Bagaimanapun, pembabitan masyarakat dalam bidang ini tidak begitu menggalakkan kerana kurang diberi pendedahan dan beranggapan sektor pekerjaan ini sebagai 3D (kotor, bahaya dan sukar).

 

Menurut Pensyarah Jabatan Sains Perhutanan, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB), Dr. Norul Izani Md Allwi, berkata, beliau bukanlah seorang buruh dalam sektor ini tetapi merupakan penyelidik dalam sektor kayu sejak tahun 2002 di bumi Kenyalang hingga kini.

 

 

‘’Di negara ini, kayu yang ada mempunyai kualiti lebih baik berbanding dari luar negara. Hakikatnya kayu di Malaysia mempunyai produk jauh lebih berkualiti.

 

‘’Oleh sebab itu bidang ini perlu diteroka lebih jauh dan sehingga kini saya masih meneruskaan penyelidikan dalam bidang perkayuan ini,’’ katanya.

 

Beliau yang berasal dari Semenanjung telah berkhidmat di UPMKB selama 22 tahun kerana terlalu meminati sumber semula jadi ini.

 

Anak kelahiran Terengganu ini turut berkongsi bahawa beliau jatuh cinta dengan pokok belian kerana kayu yang keras dan tidak tergolong dalam kumpulan Dipterokarpa yang boleh dijumpai di sepanjang sungai dan ia merupakan pokok rasmi bagi negeri Sarawak.

  

 

‘’Di UPMKB, saya menyelidik dan berkongsi ilmu kepada pelajar berkaitan pokok belian kerana sangat berharga dan tergolong antara kumpulan pokok kayu keras terberat serta amat bermutu di dunia dan mempunyai nilai pasaran yang tinggi.


‘’Istimewanya kayu pokok ini sangat keras, tidak mudah reput dan tahan secara semula jadi disebabkan ciri-ciri anatomi unik sehingga ia digelar "Borneo ironwood".


‘’Apa yang membuatkan pokok ini mempunyai nilai yang tinggi adalah kerana mutunya yang sangat baik dan dikatakan setanding dengan besi, tidak mudah reput dan tahan secara semulajadi.


Tambahnya, cinta terhadap kayu terlalu tinggi dan beliau sangat bersungguh-sungguh mengajar pelajar dan berharap pada masa akan datang, lebih ramai generasi muda akan menjadi pakar dalam industri perkayuan di negara ini.

Date of Input: 31/10/2024 | Updated: 31/10/2024 | hairul_nizam

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
T.2024/12/1:9:12:12~noCache