Kepentingan Warisan Audio Visual Dalam Kelestarian Pensejarahan | Universiti Putra Malaysia
» ARTICLE » Kepentingan Warisan Audio Visual Dalam Kelestarian Pensejarahan

Kepentingan Warisan Audio Visual Dalam Kelestarian Pensejarahan

Article Summary
Menerusi kepesatan era digital dengan teknologi audio visual yang lebih canggih, kesedaran berkenaan keperluan mengenai warisan audio visual perlulah dikembangkan lagi dalam kalangan masyarakat.


Oleh:Dr. Hani Salwah Yaakup

Pensyarah Kanan Jabatan Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden Dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia

 

  

Dalam memperkatakan mengenai sejarah dan warisan peninggalan masyarakat, kita sering kembali kepada peninggalan monumen dan artifak sesuai dengan sejarah yang dikaji.

 

Contohnya, apabila berkisah mengenai sejarah penjajahan Portugis di Melaka kita akan terus melihat kepada tapak warisan Kota A Famosa atau syiling dengan motif kijang emas pada artifak mata wang di zaman Cik Siti Wan Kembang. Namun, masyarakat umum mungkin masih belum begitu terbuka dalam pemeliharan sejarah menerusi warisan audio visual.

 

Apakah yang dikatakan sebagai warisan audio visual? Menurut International Council of Archive (ICA), dokumen audio visual meliputi filem, rancangan radio dan televisyen mahupun rakaman audio dan visual dalam abad 20 dan 21.

 

Warisan audio visual penting dipelihara sebagai koleksi himpunan mengenai kehidupan dan kebudayaan masyarakat dunia. Koleksi audio visual bukan sahaja mempersembahkan kepelbagaian kebudayaan tetapi turut merakam kerencaman linguistik dan sosial sesebuah komuniti.

 

Kepentingan untuk menjaga warisan audio visual dapat membantu sesebuah generasi memahami sekaligus menggunakannya sebagai bahan bukti yang kukuh dalam memahami perkembangan sesebuah era dan impak budaya dalam sesebuah masyarakat.

 

Sebagai contoh, pemusnahan warisan audio visual pada zaman Khmer Rouge di Kemboja, memperlihatkan akibatnya pada hari ini. Bukti penerbitan audio visual terutamanya filem pada era sebelum pemerintahan Pol Pot hampir tiada.

 

Pemerintahan Khmer Rouge beranggapan mereka yang terlibat dengan seni mempunyai minda yang korup dan harus dibunuh. Menerusi dokumentari yang dihasilkan oleh David Chou pada tahun 2012 itu, sebanyak 400 filem telah dihasilkan dalam tempoh 1960-1975 di Kemboja telah dimusnahkan.

 

Hanya 30 buah filem yang selamat kerana berjaya dibawa keluar negara sebelum pemerintahan Khmer Rouge di Kemboja. Selain itu, semuanya telah musnah dan kini masyarakat Kemboja mengenang warisan dan perkembangan kebudayaan mereka hanya menerusi ingatan dan kenangan.

 

Jumlah penerbitan yang dihasilkan Kemboja jauh lebih besar jika dibandingkan dengan apa yang telah diterbitkan di Malaysia dalam tempoh yang sama.

 

Namun, tiada bukti mengenai perkembangan, memori kolektif masyarakat dan rakaman sejarah yang mampu membuktikan mutu dan kualiti produksi yang telah dihasilkan.

 

Malah, trauma ini terus memberi impak dalam masyarakat dan golongan seni di Kemboja secara umumnya.

 

Walau bagimanapun, UNESCO telah mengiktiraf warisan audio visual dengan usaha digitalisasi sejarah. Bahan yang mempunyai nilai sejarah dan perlu disimpan untuk kepentingan bersama telah diubah bentuk daripada bentuk asal kepada bentuk digital.

 

Usaha ini penting dalam meneruskan hayat sesebuah warisan agar tidak hilang, rosak mahupun mudah diakses golongan yang berkeperluan terhadap warisan berkenaan.

 

Selain itu, UNESCO juga turut menjadikan tanggal 27 Oktober setiap tahun sebagai Hari Warisan Audio Visual Antrabangsa dalam mempromosikan dan mempergiatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan warisan audio visual dalam mengekalkan sejarah sepunya masyarakat.

 

Menerusi kepesatan era digital dengan teknologi audio visual yang lebih canggih, kesedaran berkenaan keperluan mengenai warisan audio visual perlulah dikembangkan lagi dalam kalangan masyarakat.

 

Warisan audio visual boleh menjadi sumber primer dalam memperkatakan mengenai sejarah sesebuah era sebagai contoh. Meskipun di Malaysia kita tidaklah berhadapan dengan isu politik dan peperangan yang mengakibatkan bahan audio visual dimusnahkan, namun kita masih berdepan dengan isu pengurusan bahan warisan.

 

Kekurangan golongan mahir yang boleh menjaga kelestariannya selain, anggapan rakaman audio visual lama tidak penting menjadi punca warisan audio visual kurang diberikan tumpuan sebagai aset pensejarahan.

 

Oleh itu, masyarakat perlulah didedahkan kepentingan warisan audio visual untuk kelestarian bahan. Kepentingan badan berwajib selain golongan perseorangan yang berkepentingan, dapatlah memainkan peranan dalam memberi kesedaran dalam kalangan masyarakat umum. -UPM 

 

Date of Input: 11/07/2024 | Updated: 11/07/2024 | ezzatyazhari

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
T.2024/11/28:15:42:06~noCache