Peranan Pendidikan Sains Rumah Tangga Dalam Membina Masa Depan Berkualiti | Universiti Putra Malaysia
» ARTICLE » Peranan Pendidikan Sains Rumah Tangga dalam Membina Masa Depan Berkualiti

Peranan Pendidikan Sains Rumah Tangga dalam Membina Masa Depan Berkualiti

Article Summary
Saya memahami mengapa pandangan seperti ini wujud, kerana terdapat naratif yang mengaitkan tugas memasak, menjahit, dan mengemas rumah adalah tanggungjawab suri rumah tangga. Namun, pendidikan Sains Rumah Tangga bukan hanya untuk suri rumah tangga sebaliknya, ia turut menyediakan laluan kerjaya yang lebih luas dalam konteks TVET.


Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin
Foto Oleh: Muhammad Nur Zairi Mohamad Nazari

 

Perkhidmatan ubah suai dan membaiki pakaian kini dimonopoli oleh warga asing. Walaupun semakin hari semakin tinggi permintaannya lagi-lagi ketika musim puncak seperti menjelang perayaan atau permulaan sesi persekolahan.

 

Permintaan Perkhidmatan ini semakin hari semakin banyak kerana masyarakat hari ini cenderung membeli belah secara dalam talian, apabila pakaiaan yang dibeli itu tidak boleh dicuba maka mereka akan menggunakan perkhidmatan ubah suai ataupun ‘alter’.

 

Ubah suai pakaian ini bukanlah pilihan untuk masyarakat sekarang walaupun ia boleh memberi pulangan pendapatan yang lumayan di antara RM1 hingga RM20 bagi setiap ubah suai.

 

Pensyarah Kanan Jabatan Pendidikan Sains dan Teknikal, Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP), Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Rahimah Jamaluddin, berpendapat pendidikan Sains Rumah Tangga patut menjadi sebahagian daripada kurikulum kerana memberi manfaat dalam membentuk kemahiran asas sejak usia muda, tetapi juga berpotensi menjana pendapatan sampingan atau sebagai kerjaya.

 

 

‘’Namun dalam era moden ini, Pendidikan Sains Rumah Tangga tidak lagi diberi penekanan, meskipun ia merupakan bidang ilmu yang sangat bermanfaat. Oleh yang demikian adalah penting untuk memperkenalkan mata pelajaran ini kepada anak-anak seawal usia enam tahun bagi membentuk karekter, tanggungjawab, dan jati diri mereka.

 

Beliau berkata, pendedahan kurang di peringkat sekolah menyebabkan pelajar kurang berminat untuk mempelajari dan memilih Pendidikan Sains Rumah Tangga sebagai pilihan utama.

 

‘’Ini kerana persepsi negatif terhadap mata pelajaran ini menyebabkan banyak sekolah tidak menawarkan subjek tersebut. Bahkan masih terdapat pentadbir sekolah beranggapan bahawa Pendidikan Sains Rumah Tangga hanya sesuai untuk pelajar yang lemah akademik dan malas.

 

‘’Namun tanggapan ini tidak tepat, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah mengklasifikasikan mata pelajaran Sains Rumah Tangga di bawah kumpulan elektif STEM (Sains Gunaan dan Teknologi) mulai tahun 2020 seperti yang dinyatakan dalam Pekeliling Ikhtisas KPM Bil. 6 Tahun 2019. Ini menunjukkan bahawa mata pelajaran ini juga sama penting dalam pembangunan negara, setanding mata pelajaran elektif STEM yang lain.

 

 

“Tiada pendidikan yang tidak penting, ketiadaan kemahiran asas ini juga boleh menyumbang kepada kepincangan dalam institusi keluarga, terutama yang melibatkan aspek pengurusan rumah tangga yang dipandang ‘remeh’ oleh segelintir Masyarakat. Selain itu, kemahiran ini tidak memihak kepada mana-mana jantina dan sesuai untuk dipelajari oleh semua.

 

 

 "Saya memahami mengapa pandangan seperti ini wujud, kerana terdapat naratif yang mengaitkan tugas memasak, menjahit, dan mengemas rumah adalah tanggungjawab suri rumah tangga. Namun, pendidikan Sains Rumah Tangga bukan hanya untuk suri rumah tangga sebaliknya, ia turut menyediakan laluan kerjaya yang lebih luas dalam konteks TVET," katanya.

 

Tambah beliau, kemahiran penyediaan makanan bukan sekadar memasak malah melibatkan pengurusan perbelanjaan dapur dan keperluan rumah.

 

‘’Individu yang mempunyai ilmu ini bukan hanya mampu menjana pendapatan malah boleh mereka cipta hidangan yang seimbang dan dapat membantu mengurangkan kos makanan dan mengelakkan pembaziran,’’ katanya.

 

Selain itu, pembersihan dan penyelengaraan tempat tinggal perlu dipelajari oleh umum kerana  kemahiran asas ini perlu dipelajari oleh umum kerana kemahiran ini tidak hanya melibatkan pengetahuan tentang cara pembersihan dan membaiki peralaran, tetapi ia dapat menjana pendapatan.

 

“Siapa sangka khidmat tukang cuci sambilan kini mendapat permintaan luar biasa. Lagi-lagi pada musim perayaan dan  kebanyakan orang meminta khidmat tukang cuci pada hujung minggu dan cuti umum agar dapat membuat pemantauan.


‘’Namun jika anak-anak dari kecil tidak didedahkan dengan kemahiran pembersihan dan penyelengaraan tempat tinggal, tugas ini akan dilakukan oleh mereka yang menyediakan perkhidmatan ini,’’ ujarnya.

 

Oleh yang demikan, dengan memberi pendedahan awal, kita bukan sahaja membina kemahiran asas, tetapi juga menyemai minat dan kebolehan anak-anak terhadap bidang TVET, sambil menanam nilai-nilai penting yang diperlukan untuk menguruskan kehidupan dan keluarga dengan lebih berkesan.

 

 

Date of Input: 21/10/2024 | Updated: 21/10/2024 | syamilakamarul

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
T.2024/12/1:9:15:59~noCache