Petani Strawberi Muda Jalankan Penyelidikan Hasilkan Racun Organik | Universiti Putra Malaysia
» ARTICLE » Petani strawberi muda jalankan penyelidikan hasilkan racun organik

Petani strawberi muda jalankan penyelidikan hasilkan racun organik

Article Summary
Pembabitan golongan muda yang kreatif menggunakan teknologi baharu dapat membantu industri pertanian meningkatkan hasil tanaman yang diusahakan termasuk kualiti tanaman dan produktiviti pertanian.


Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin
 
 
Pembabitan golongan muda yang kreatif menggunakan teknologi baharu dapat membantu industri pertanian meningkatkan hasil tanaman yang diusahakan termasuk kualiti tanaman dan produktiviti pertanian.
 
Pelajar Master Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM), Shu Guo Long, 28, yang juga seorang petani moden mendapat pendedahan dalam ilmu pertanian sejak berumur 11 tahun lagi oleh bapanya.
 
Kini beliau sedang mengusahakan setengah hektar ladang strawberi di Cameron Highland, Pahang menggunakan teknologi teknologi internet of Things (IoT).
 
 
“Saya kini melakukan penyelidikan sambil mengusahakan setengah hektar ladang strawberi menggunakan kamera litar tertutup (CCTV) dan router wifi tenaga solar bagi memantau tumbesaran buah tersebut daripada jarak jauh.
 
“Penyelidikan yang sedang dilakukan ini untuk menghasilkan racun organik mesra alam tanpa menjejaskan kesihatan manusia. Pada zaman sekarang terlalu banyak penggunaan racun sintetik yang bukan sahaja memberi kesan kepada manusia bahkan alam sekitar untuk tempoh jangka masa panjang.
 
“Harga racun serangga meningkat dan langkah alternatif yang perlu dilakukan sebagai petani moden perlu mencari alternatif pengurangan kebergantungan dan peralihan baja kimia kepada organik. Berkemungkinan dengan mengaplikasikan teknologi efektif mikroorganisma (EEM), menggalakkan penggunaan semula bahan sisa pertanian seperti pereputan jerami padi dan arang,” katanya.
 
Justeru, katanya, beliau sedang mengkaji alternatif menggunakan bahan sisa pertanian kerana ianya mengandungi bahan silikon semula jadi yang boleh menggantikan bahan kimia.
 
 
 
Beliau mempunyai ijazah sarjana muda kejuruteraan kimia mengambil inisiatif untuk menyambung master di UPM dalam bidang pertanian kerana nekad untuk membantu petani di luar sana mencari penyelesaiaan bagi menambahbaik hasil pertanian negara pada masa hadapan.
 
“Sebagai petani muda, saya bercita-cita menjadi seorang saintis yang pakar dalam bidang pertanian dan usahawan yang berjaya dengan menggunakan teknologi IoT bagi memudahkan urusan kerja di ladang,” katanya.
 
Menurutnya, pekerjaan sebagai petani moden tidak diketahui oleh ramai golongan muda bahawa pendapatan yang diperoleh adalah berpatutan. Bukan itu sahaja, sebagai golongan muda yang hidup dalam era digital mereka boleh menyumbang dalam bidang pertanian menggunakan teknologi IoT untuk diaplikasikan.- UPM

Date of Input: 03/07/2023 | Updated: 03/07/2023 | syamilakamarul

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
T.2024/11/28:16:03:29~noCache