Probiotik Cegah Penyakit Ternakan Ikan Dan Udang Dengan Berkesan | Universiti Putra Malaysia
» ARTICLE » Probiotik cegah penyakit ternakan ikan dan udang dengan berkesan

Probiotik cegah penyakit ternakan ikan dan udang dengan berkesan

**Artikel ini diterbitkan di dalam Bahasa Melayu dan tiada terjemahan di dalam Bahasa Inggeris**

Oleh Prof. Madya Dr. Murni Marlina Abd Karim

Akuakultur adalah salah satu sumber ekonomi utama kebanyakan negara dan merupakan antara komponen penting dalam aspek sekuriti makanan. Industri akuakultur semakin berkembang pesat dan dijalankan secara intensif di Malaysia.

Impak dari ternakan secara intensif adalah serangan penyakit yang merupakan punca utama permasalahan dalam industri akuakultur kerana kematian yang tinggi memberi kerugian yang besar kepada penternak dan industri.

Haiwan akuatik seperti ikan dan udang mudah terdedah kepada jangkitan yang disebabkan oleh mikroorganisma seperti parasit, bakteria, kulat dan virus. Kebanyakan penyakit adalah berpunca daripada bakteria patogen dari spesis VibrioAeromonasStreptoccoccusStaphylococcus dan lain-lain.

Bakteria patogen tersebut boleh mengakibatkan nekrosis kulit pada haiwan akuatik, pencairan organ dalaman, kurang selera makan, melambatkan proses tumbesaran serta pada tahap yang kronik boleh menyebabkan kematian yang tinggi.  

Pelbagai cara telah diambil untuk menangani penyakit dalam industri akuakultur seperti penggunaan antibiotik dan bahan kimia seperti formalin, copper sulphate dan malachite green yang merupakan cara popular kepada penternak kerana dapat mencegah dan mengawal penyakit dengan cepat.

Manakala penyalahgunaan antibiotik secara berlebihan boleh menyebabkan bakteria penyebab penyakit menjadi kebal kepada antibiotik dan menjadikan penyakit tersebut sukar dirawat.

Walaupun penggunaan antibitoik telah dilarang disebabkan kesan yang tidak baik dalam jangkamasa panjang kepada ternakan dan juga manusia, masih ada penternak dalam diam-diam menggunakan bahan ini untuk mendapatkan kesan pantas dan untung cepat tanpa memikirkan kesan kepada alam sekitar.

Probiotik adalah  mikroorganisma hidup yang merangsang pertumbuhan organisma lain. Probiotik didefinisikan sebagai mikroorganisma hidup di mana jika diberikan dalam jumlah yang betul akan memberi kesan baik terhadap haiwan/pengguna dengan meningkatkan keseimbangan mikrobiota dalam usus.

Probiotik telah menunjukkan kesan yang baik dalam mengawal penyakit kerana fungsi mikrobiota asli dalam saluran pencernaan atau permukaan tubuh haiwan perumah dapat dibaiki atau diimbangi dengan penggunaan probiotik.

Penggunaan agen antimikrobial yang berlebihan untuk kawalan penyakit telah menyebabkan evolusi penahanan antimikrobial oleh bakteria patogen dan juga boleh menjejaskan kesihatan manusia. Oleh itu, probiotik menyediakan alternatif lain yang dapat membantu meningkatkan tahap kualiti penternakan ikan dan udang serta ianya mesra alam sekitar dan tidak akan menjejaskan kesihatan manusia.

Kajian mengenai penggunaan probiotik dalam penternakan ikan dan udang telah lama dijalankan. Bakteria dari spesis Bacillus mempunyai anti-tumor dan aktiviti imunomodulator yang melindungi ikan dan udang daripada serangan penyakit oleh bakteria.

Saintis telah membuktikan campuran Bacillus subtilis dan Lactobacillus acidophilus dapat melindungi ikan tilapia daripada serangan penyakit yang berpunca daripada bakteria patogen Aeromonas hydrophila. Ini menyebabkan ikan tilapia mempunyai kemandirian yang lebih tinggi berbanding tanpa penggunaan probiotik.

Kajian di Taiwan menunjukan apabila bakteria Lactobacillus plantarum dicampurkan dalam makanan harian ikan kerapu, ikan tersebut menunjukkan tumbesaran yang  cepat kerana peningkatan sistem ketahanan daripada penyakit yang disebabkan oleh spesis Streptococcus.

Penggunaan probiotik juga dapat membantu meningkatkan kualiti air kerana banyak kajian membuktikan kandungan ammonia dapat dikurangkan dan tahap oksigen di dalam kultur air meningkat apabila probiotik dari spesis Bacillus dicampurkan di dalam kultur ternakan.

Penggunaan probiotik di dalam sistem ternakan mempunyai banyak kelebihan seperti meningkatkan tindakbalas imun haiwan seperti campuran probiotik bakteria Lactobacillus dan Bacillus meningkatkan pertumbuhan dan kelangsungan hidup udang putih serta melindungi daripada patogen Vibrio harveyi dan virus bintik putih.

Selain itu, ianya juga boleh meningkatkan status kesihatan dan rintangan terhadap penyakit kerana dapat mencegah penyakit berjangkit. Probiotik juga menghasilkan antibakteria yang dapat menghalang bakteria patogen daripada mengjangkiti organisma lain serta meningkatkan tumbesaran haiwan akuatik.

Probiotik juga dapat membaiki serta mengekalkan tahap kuali air yang baik dalam kultur ternakan, dimana keberkesannya mempercepatkan proses penguraian bahan organik di dalam air seperti mengurangkan nitrogen dan kepekatan fosforus serta ammonia, nitrit dan hidrogen sulfida.

Di samping itu, penggunaan probiotik juga dapat mengurangkan dan membunuh patogen bakteria di dalam air dan haiwan ternakan. Apabila probiotik dicampurkan di dalam air, ianya dapat meningkatkan status kesihatan udang harimau dan mengurangkan kehadiran bakteria patogen.

Selain itu, probiotik juga dapat mengurangkan penggunaan bahan kimia didalam kultur ternakan. Penggunaan bahan kimia adalah tidak spesifik dan kurang efisien serta mempunyai harga yang tinggi. Kebergantungan terhadap penggunaan bahan kimia dapat dikurangkan dengan menggunakan probiotik.

Penggunaan probiotik adalah tidak asing kepada sebahagian penternak akuakultur di Malaysia namun kebanyakan probiotik di import. Penggunaan produk probiotik tempatan adalah digalakkan kerana kandungan bahannya lebih diketahui.

Pendedahan terhadap penggunaan probiotik kepada penternak perlu ditekankan agar dapat menghasilkan hasil ternakan yang bebas bahan kimia, mapan, berkualiti dan selamat dimana sekaligus meningkatkan sekuriti makanan di Malaysia.

Penggunaan probiotik untuk tujuan mengawal penyakit adalah sangat digalakkan kerana penggunaan probiotik mesra alam sekitar berbanding penggunaan bahan kimia yang boleh menyebabkan kemudaratan dalam jangkamasa panjang.

Kumpulan penyelidik di makmal lab sedang menjalankan kajian untuk menghasilkan probiotik yang berupaya menentang penyakit dalam kultur ternakan. Hasil kajian awal di makmal membuktikan probiotik tempatan mempunyai potensi melawan penyakit ikan dan udang. Walaubagaimanapun, probiotik yang sedia ada perlu menjalani kajian di peringkat lapangan sebelum dikomersialkan.

 

Prof. Madya Dr. Murni Marlina Abd Karim

Pensyarah & Setiausaha Persatuan Perikanan Asia

Jabatan Akuakultur

Fakulti Pertanian

Date of Input: 22/10/2019 | Updated: 22/10/2019 | hairul_nizam

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
T.2024/11/28:16:06:30~noCache