Rumpai Ancaman Pesawah Padi Ketika Musim Panas | Universiti Putra Malaysia
» ARTICLE » Rumpai ancaman pesawah padi ketika musim panas

Rumpai ancaman pesawah padi ketika musim panas

Article Summary
Pertumbuhan rumpai merupakan antara ancaman yang akan dihadapi oleh pesawah ketika musim panas.


Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari
Foto: Mozaid Idris


SERDANG – Pertumbuhan rumpai merupakan antara ancaman yang akan dihadapi oleh pesawah ketika musim panas.

Penyelidik Laboratori Pengeluaran Tanaman Pintar-Iklim, Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan (ITAFoS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Zulkarami Berahim, berkata sekiranya air tiada di bendang, masalah rumpai menjadi semakin teruk kerana pertumbuhan rumpai lebih cepat berbanding padi semasa awal pertumbuhan pokok padi.

“Cuaca panas akan mengundang banyak penyakit padi dan perosak tanaman padi seperti karah, reput tangkai, dan sebagainya.

“Penyakit dan perosak amat sensitif terhadap perubahan suhu dan kelembapan yang akan mencetuskan keadaan yang sesuai untuk sesuatu penyakit atau perosak untuk membiak dan tersebar.

“Apabila kekurangan air, ketahanan pokok padi menjadi rendah dan mudah untuk penyakit dan perosak menyerang. Pokok padi tergolong dalam keluarga rumpai yang sensitif kepada stress air atau kemarau,” katanya.

Jelasnya, sumber air semakin terhad akan menjejaskan produktiviti hasil padi terutamanya di jelapang padi yang terdedah kepada kemarau seperti di Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Kelantan (Jumlah air hujan kurang dari 200 mm/bulan).

Awal Mei lalu media melaporkan, KADA merekodkan kerugian lebih RM2.7 juta apabila hampir 30 peratus hasil padi di Kelantan, merosot akibat musim kemarau.

Penanaman padi di Semenanjung Malaysia mempunyai dua musim iaitu musim utama (antara bulan Ogos hingga Februari tahun berikutnya) dan luar musim (antara Mac hingga Julai dalam tahun berkenaan).

Musim utama ialah tanaman padi mempunyai air yang mencukupi berbanding di luar musim iaitu musim kering dan kekurangan air atau kemarau ini akan menjejaskan sekuriti makanan negara.

Peranan kerajaan dan pesawah

Sebagai persiapan fenomena el nino, beliau berkata beberapa langkah boleh dilakukan oleh kerajaan dan pihak berkaitan dalam membantu pesawah untuk menambahbaik pengeluaran beras dan padi seperti pemberian insentif yang menarik atau kemudahan fasiliti dan pengairan yang cekap dan efisien.

“Kerajaan perlu membantu para pesawah dengan menyediakan sumber air bawah tanah (tube well) di beberapa tempat yang penting termasuklah mencari jalan alternatif dengan menggalakkan kajian lebih terperinci dijalankan.

“Sesi perbincangan serta tindakan bersama pesawah dan agensi terlibat perlu dilakukan untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan tanaman padi secara muafakat,” katanya.

Beliau berkata, pesawah boleh melakukan penyediaan air yang mencukupi melalui kolam tadahan, takungan, sumber air bawah tanah dan sistem pam air yang sesuai. 

Katanya, penambahan baja muriate of potash (MOP) atau pottasium (K) boleh dijadikan sebagai bahan untuk mengurangkan kesan kemarau pada pokok padi.

“Seterusnya, pemilihan benih padi yang sesuai dan cepat matang atau singkat seperti 100 hari berbanding 120 hari kebiasaannya boleh digunakan agar pokok padi dapat melepasi peringkat pembiakan setelah tiada air seperti benih padi MR220CL2.

“Penggunaan teknologi terkini UAV (Unmanned Aerial Vehicle) untuk pengurusan tanaman padi yang tepat membantu pesawah membuat keputusan yang tepat bagi menyelesaikan isu atau masalah berkaitan padi.

Katanya, tanaman padi perlu diberi keutamaan sebagai sekuriti makanan kerana kecukupan makanan (self-sufficiency level) masih tidak mencukupi iaitu sekitar 72% di Malaysia.

Beras yang berkualiti adalah hasil daripada pokok padi yang ditanam meliputi aspek pengurusan tanaman yang sistematik, tanah yang berkualiti, pengurusan efisien dari ancaman perubahan cuaca, pemindahan dan pengembangan teknologi yang terkini oleh pihak agensi yang terlibat. -UPM

Date of Input: 06/06/2023 | Updated: 06/06/2023 | hairul_nizam

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
T.2024/12/1:11:40:24~noCache