Pencinta Alam Sambung PhD: Usaha Cari Jalan Selamatkan Bumi | Universiti Putra Malaysia
» NEWS » "Pencinta Alam Sambung PhD: Usaha Cari Jalan Selamatkan Bumi"

"Pencinta Alam Sambung PhD: Usaha Cari Jalan Selamatkan Bumi"

Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin

 

 

 

SERDANG, 3 Disember – Keprihatinan terhadap kelestarian alam sekitar menjadi dorongan utama bagi Nor Akhlisah Zulkipli, 32, untuk menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Kejuruteraan Alam Sekitar di Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM).

 

Graduan ini mengakui, minat mendalam terhadap isu perubahan iklim mendorongnya untuk terus berusaha mencari penyelesaian mampan yang selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs).

 

“Saya menumpukan kerjaya dalam sektor pekerjaan hijau, iaitu sektor ekonomi yang menyumbang kepada pemeliharaan dan pemulihan alam sekitar ke arah pembangunan lestari," katanya yang ditemui selepas Majlis Konvokesyen UPM ke-48 Sidang 2 hari ini.

 

 

Dalam kajiannya, beliau menumpukan kepada penyelesaian inovatif untuk menangani cabaran alam sekitar seperti perubahan iklim dan cuaca ekstrem yang kini semakin ketara.

 

Anak kelahiran Terengganu ini turut berkongsi pengalaman menerima biasiswa daripada German Academic Exchange Service (DAAD) dan Southeast Asian Regional Center for Graduate Study and Research in Agriculture (SEARCA).

 

Biasiswa tersebut memberinya peluang untuk mengembangkan kepakaran dalam kejuruteraan alam sekitar serta menyertai pelbagai aktiviti antarabangsa.

 

‘’Saya percaya kepakaran dalam bidang ini bukan sahaja penting untuk menyelesaikan masalah alam sekitar, tetapi juga untuk membangunkan solusi berdaya tahan bagi masa depan.

 

“Cabaran perubahan iklim dan cuaca melampau yang dihadapi rantau ini menuntut penyelesaian berinovasi. Kita juga perlu menggalakkan lebih ramai golongan belia menyambung pengajian dalam bidang ini bagi memastikan kemakmuran ekonomi dan kelestarian alam," ujarnya.

 

Beliau turut menekankan peranan kejuruteraan alam sekitar dalam melindungi kawasan tadahan air dan memulihkan ekosistem semula jadi yang penting untuk menghalang bencana seperti banjir.

 

"Keseimbangan antara pembangunan dan kelestarian alam adalah kunci untuk memastikan kesejahteraan generasi akan datang.

 

‘’Saya berharap penyelidikan yang dibuat mampu memberi manfaat kepada masyarakat dan menyumbang kepada dunia yang lebih lestari,’’ katanya.

Date of Input: 03/12/2024 | Updated: 03/12/2024 | hairul_nizam

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
T.2024/12/4:18:15:01~noCache