Thayalan Arumugam Tabah Walaupun Harta Musnah, Impian Terus Dicapai | Universiti Putra Malaysia
» NEWS » Thayalan Arumugam tabah walaupun harta musnah, impian terus dicapai

Thayalan Arumugam tabah walaupun harta musnah, impian terus dicapai

Oleh: Syasya Nur Sabiha Shahrudin

 

SERDANG, 4 Disember - Terasa dunia Thayalan Arumugam, 37, sangat gelap apabila rumahnya di Shah Alam yang dikongsi bersama isteri dinaiki air mencecah 10 kaki pada semester keduanya.

 

Beliau yang merupakan graduan Sarjana Sains Teknologi Pertanian, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata ketika itu, beliau dan isteri tidak sempat diselamatkan oleh pihak bomba kerana kawasannya terlalu bahaya bagi bot penyelamat. 

 

“Air naik terlalu cepat dan kawasan perumahan saya menjadi kawasan bahaya bagi bot penyelamat. Kami berdua terpaksa berteduh di tingkat atas rumah selama tiga hari dengan bekalan makanan dan air yang sangat terhad.

 

“Banjir ini menyebabkan saya kehilangan banyak harta benda termasuklah kereta, motorsikal, laptop, dan banyak lagi. Pada waktu itu, saya rasa seperti telah kehilangan segalanya.” 

 

 

Tahun itu sangat mencabar bagi Thayalan, tetapi beliau tekad untuk meneruskan pelajarannya.

 

“Walaupun pada mulanya keadaan agak sukar, saya sentiasa mengingatkan diri tentang sebab utama saya memulakan perjalanan siswazah ini, iaitu menjadi seorang pakar teknologi pertanian.

 

“Saya berusaha sedaya upaya untuk kembali ke rutin secepat mungkin, walaupun dalam serba kekurangan, saya memanfaatkan apa sahaja yang ada sehingga akhirnya dapat kembali kepada keadaan normal,” katanya.

 

Beliau juga menzahirkan rasa syukur kepada pihak Fakulti Pertanian UPM dan juga Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPM atas sumbangan yang diberikan untuk meringankan beban yang dihadapinya.

 

Thayalan juga berterima kasih kepada penyelianya, Dr Muhammad Asyraf Md Hatta, yang sudi datang ke rumahnya untuk bertemu dan membincangkan perkembangan pengajian sewaktu beliau tiada kenderaan untuk ke kampus.

 

“Ingatlah bahawa anda tidak bersendirian bantuan dan sokongan sentiasa ada, sama ada daripada keluarga, rakan-rakan, atau pihak universiti. Jangan malu untuk meminta pertolongan apabila diperlukan, kerana kita semua adalah satu keluarga yang saling menyokong.”

Date of Input: 04/12/2024 | Updated: 04/12/2024 | syamilakamarul

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
T.2024/12/5:10:11:23~noCache