Tiga Sahabat Rai Kejayaan Tamat PhD Serentak | Universiti Putra Malaysia
» NEWS » Tiga Sahabat Rai Kejayaan Tamat PhD Serentak

Tiga Sahabat Rai Kejayaan Tamat PhD Serentak

Oleh: Noor Eszereen Juferi

 

 

SERDANG, 2 November – Majlis Konvokesyen ke-48 Universiti Putra Malaysia (UPM) Sidang ke-2 menjadi momen penuh makna buat tiga sahabat Mardiah Hafizah Muhammad Hafizi, Nursakinah Mohamad Ibrahim dan Fathin Hanani Abdul Jakit yang berjaya menamatkan pengajian PhD mereka bersama-sama.

 

Mardiah Hafizah, 36, yang bergraduat dalam Doktor Falsafah Pendidikan Matematik berkata, permulaan persahabatan mereka mula terjalin ketika mula menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda lagi.

 

“Persahabatan kami tidak hanya berhenti di situ kami melangkah ke fasa seterusnya dengan melanjutkan pengajian Master di UPM dan akhirnya memutuskan untuk meneruskan perjalanan Doktor Falsafah bersama-sama,” katanya.

 

Walaupun kedua rakannya Nursakinah, 36, menyambung pengajian Doktor Falsafah Elektromagnetik Berkomputasi dan Fathin Hanani, 36, Doktor Falsafah Ekonomi namun mereka saling membantu antara satu sama lain.

 

“Sokongan antara satu sama lain menjadi kekuatan kami dan setiap kali salah seorang berasa lemah semangat, kami akan saling mengingatkan tujuan asal serta berkongsi kekuatan,” katanya.

 

Beliau akui dalam perjalanan selama hampir sedekad, mereka turut menghadapi pelbagai rintangan antaranya cabaran pandemik COVID-19 dan perubahan penyelia serta gangguan emosi akibat kehilangan orang tersayang.

 

“Saya terpaksa menukar pengkhususan pengajian saya dari Elektromagnetik Berkomputasi kepada pendidikan matematik selepas mendapati minat sebenarnya berada dalam bidang pendidikan,” katanya.

 

Mardiah Hafizah, selain persahabatan yang erat, keluarga juga menjadi tonggak kekuatan mereka.

 

“Saya bersyukur turut memperoleh sokongan suami, meskipun saya terpaksa menjalani hubungan jarak jauh beliau banyak membantu mengurangkan tekanan serta sentiasa memberi semangat, memastikan saya tidak berasa sendirian, dan membantu menguruskan kehidupan harian,” katanya.

 

Mardiah Hafizah berkata beliau berharap kerjaya beliau bersama dua rakannya bukan hanya satu pencapaian akademik, tetapi juga simbol kekuatan persahabatan, kesabaran, dan kecekalan.

 

“Kenangan bergraduat bersama ini membuktikan bahawa usaha tidak pernah mengkhianati hasil dan kami berharap menjadi inspirasi untuk generasi muda untuk terus menuntut ilmu hingga ke liang lahad,” katanya.

Date of Input: 02/12/2024 | Updated: 02/12/2024 | hairul_nizam

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
T.2024/12/11:16:01:52~noCache