Serdang, 2 Disember – Seorang ibu sanggup berkorban selama sembilan tahun menyambung Ijazah Doktor Falsafah (PhD) demi menjaga anak yang sama-sama berjuang menamatkan pengajian ijazah sarjana muda.
Namun, semangat kental seorang ibu yang berkhidmat sebagai guru menjadi inspirasi berjaya menamatkan pengajian PhD di Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini.
Graduan PhD Pendidikan Bahasa Melayu, Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP), UPM, Musrifah Sarjoni, 50, menceritakan beliau memilih untuk sambung belajar ke peringkat PhD setelah anak sulung kesayangan meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.
“Kesedihan itu menyebabkan saya ambil keputusan untuk melanjutkan pelajaran di peringkat PhD bagi mengubati hati yang luka.
“Namun, pada tahun 2016, dugaan besar melanda apabila anak kedua yang sedang mewakili pertandingan bola sepak di Institusi Pendidikan Guru mengalami kecederaan serius pada lutut.
Akibat kecederaan itu, doktor menyarankan agar kaki anaknya dipotong.
Namun, beliau berusaha mencari rawatan alternatif. Malangnya, luka tersebut dijangkiti kuman, dan anaknya dirujuk kembali ke hospital swasta yang turut mencadangkan amputasi.
“Saya terpaksa menangguhkan pengajian selama setahun kerana anak perlu diberi perhatian penuh kerana hilang upaya berjalan.
“Dalam masa yang sama, pandemik COVID-19 melanda, menjadikan perjalanan saya semakin mencabar.
"Namun sokongan daripada keluarga, khususnya suami dan anak-anak, serta bimbingan daripada penyelia yang memahami keadaan saya, memberi kekuatan untuk saya terus bertahan," katanya ketika ditemui selepas majlis konvokesyen UPM ke-48.
Guru SRAI Pekan Beranang, Selangor berkata, walaupun mengambil masa 9 tahun untuk menamatkan pengajian, beliau tidak pernah menganggap ia sia-sia.
"Bagi saya, ilmu itu tidak ternilai. Perjalanan ini menjadikan saya insan yang lebih kuat dan tabah menghadapi cabaran hidup.
“Kejayaan itu memerlukan pengorbanan dan kesabaran yang tinggi. Seorang ibu yang tidak boleh menyerah kalah, walau diuji dengan cabaran hebat dalam hidup,” ujarnya.
Date of Input: 02/12/2024 | Updated: 02/12/2024 | hairul_nizam
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA