Pempengaruh Pertanian Bergraduat, Beri Inspirasi Pertanian Kepada Masyarakat | Universiti Putra Malaysia
» NEWS » Pempengaruh pertanian bergraduat, beri inspirasi pertanian kepada masyarakat

Pempengaruh pertanian bergraduat, beri inspirasi pertanian kepada masyarakat

Oleh: Noor Eszereen Juferi

 

 

SERDANG, 6 Disember – Walaupun sudah mempunyai kerjaya yang stabil, graduan Bacelor Sains Pertanian, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM), Mohd Nazrul Anis tidak pernah puas dengan pencapaiannya dan perlu mempunyai ilmu pendidikan yang tinggi.

 

Mohd Nazrul, 32, yang juga aktif menghasilkan kandungan video di TikTok berkenaan pertanian berkata, menyambung pengajian bukan sekadar untuk menambah kelayakan tetapi untuk memperkukuh pengetahuan dan kemahiran malah perlu seiring dengan teori dan praktikal.

 

“Bukan semua orang sedar betapa pentingnya pertanian dalam kehidupan kita terutamanya isu keterjaminan negara kini menjadi isu perbincangan global dan akan menjadi ancaman jika tidak diatasi dengan serius,” katanya ketika ditemui di Majlis Konvokesyen UPM ke-48 Sidang 2, hari ini.

 

 

Beliau yang merupakan Penolong Pegawai Pertanian di Fakulti Pertanian, UPM berkata bekerja di persekitaran akademik mendorong beliau untuk menjadi contoh kepada pelajar dan rakan sekerja.

 

“Saya yakin ilmu dalam bidang pertanian ini sangat luas dan masih banyak yang perlu diterokai,” katanya.

 

Bercerita tentang detik permulaan sebagai pempengaruh, ia bermula dengan idea isteri beliau, Siti Noreena Abd Rahman setelah melihat koleksi gambar dan video tanaman di telefon bimbitnya.

 

“Isteri saya telah mencetuskan idea untuk menjadikan foto dan video tersebut sebagai kandungan TikTok. Dari situ saya mula memberanikan diri untuk menghasilkan kandungan berkaitan tanaman kontan untuk mendidik masyarakat,” katanya.

 

Pada awalnya, beliau akui rasa malu dan untuk mengatasi rasa itu beliau terpaksa melawan perasaan sendiri.

 

 

“Sama seperti bila kita menuntut ilmu kita tak boleh malas jika mahu capai sesuatu dan berbekalkan semangat itu saya beranikan diri untuk menghasilkan kandungan pertanian yang informatif untuk berkongsi ilmu pertanian,” katanya.

 

Mohd Nazrul berharap dapat menginspirasi generasi muda untuk menceburi bidang pertanian.

 

“Pertanian kini merupakan satu industri yang kaya dengan inovasi dan teknologi dan masyarakat perlu ubah persepsi bahawa bertani itu kotor dan penat. Dengan teknologi moden, pertanian boleh jadi sesuatu yang menarik dan menjana pendapatan yang lumayan,”  katanya.

Date of Input: 06/12/2024 | Updated: 06/12/2024 | hairul_nizam

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
T.2024/12/13:4:26:56~noCache